Sherif larang anggota pakai pelitup muka

Miami: Seorang sherif di Florida, mengarahkan pegawainya tidak memakai pelitup muka termasuk melarang pemakaian alat perlindungan diri itu di pejabatnya walaupun negeri di selatan Amerika Syarikat (AS) itu merekodkan kematian harian tinggi Covid-19.

Sherif Billy Woods yang berpangkalan di wilayah Marion, Florida menulis emel kepada timbalannya Selasa lalu untuk memaklumkan larangan terbaharu berkenaan, berdasarkan laporan akhbar tempatan, Ocala Star Banner.

“Saya berpendirian, apabila anda bertugas sebagai anggota saya dan berada di pejabat ini, tidak perlu memakai pelitup muka,” katanya dalam emel itu.

Bagaimanapun, Sherif berkenaan membenarkan beberapa pengecualian termasuk pegawai yang bertugas di penjara, sekolah dan hospital atau mereka yang disyaki dijangkiti virus itu.

Woods berkata, arahan itu dikeluarkan kerana berkaitan peristiwa semasa mengenai sentimen dan kebencian terhadap penguatkuasaan undang-undang di negara itu.

Beliau merujuk tunjuk perasaan terhadap isu perkauman dan keganasan polis yang melanda seluruh negara itu baru-baru ini.

Katanya, pelawat yang mengunjungi pejabat sherif juga tidak dibenarkan memakai pelitup muka dengan alasan sama.

Pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di Florida hanya disyorkan saja, tetapi Florida antara negeri terjejas teruk di AS.

Florida mencatatkan 8,765 angka kematian akibat wabak itu dengan lebih 550,901 kes jangkitan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19