Si kerdil bantu kempen
NEW DELHI: Wanita terpendek dunia turun berkempen ke jalanan di India Tengah bagi memberi kesedaran kepada orang awam supaya duduk rumah ketika pandemik Covid-19.
The Guardian melaporkan, Jyoti Amge, 26, yang hanya memiliki ketinggian 62.8 sentimeter itu melakukan inisiatif berkenaan selepas polis meminta bantuannya bagi menguatkuasakan perintah berkurung.
Wanita itu juga berkempen untuk menggalakkan orang ramai mencuci tangan di samping memakai penutup mulut dan hidung serta sarung tangan apabila meninggalkan rumah.
Dia membuat penampilan pertama di tengah bandar Nagpur di Maharashtra, baru-baru ini.
“Polis, petugas penjagaan kesihatan dan tentera yang berada di barisan hadapan bertungkus-lumus berjuang melawan virus dan menyelamatkan nyawa.
“Walaupun diri saya kerdil, saya mahu menyumbang dengan cara saya tersendiri.
“Saya ajak orang ramai teruskan menjaga jarak sosial dan duduk rumah untuk memutuskan rangkaian penyebaran jangkitan,” katanya kepada AFP.
Amge yang berdepan masalah genetik achondroplasia diiktiraf Guinness World Records sebagai wanita terpendek dunia.
Wanita itu bekerja di sebuah televisyen di India dan Amerika Syarikat (AS), sejak menerima gelaran itu pada 2011.
India melaksanakan perintah berkurung sejak penghujung Mac lalu, dengan penduduk hanya dibenarkan meninggalkan rumah untuk keperluan penting termasuk membeli makanan asas dan ubatan.
Negara yang memiliki kepadatan 1.3 bilion penduduk itu, merekodkan lebih 11,000 kes jangkitan Covid-19 dengan 393 kematian.