Simpan mayat dalam trak sejuk beku

New York: Jumlah kematian yang tinggi akibat Covid-19 di sini, menyebabkan bandar itu sedang bergelut untuk mengendalikan jumlah mayat yang banyak.

Sehingga kini, jumlah kematian akibat wabak itu Amerika Syarikat melepasi 3,485 kes, dan situasi pekerja kesihatan membawa mayat ke luar hospital adalah senario biasa.

AFP melaporkan, sembilan mayat dilihat dimasukkan ke trak sejuk beku di luar Hospital Wyckoff di Brooklyn, semalam yang dikatakan dijadikan pusat penyimpanan sementara.

Beberapa pemilik rumah mayat yang ditemubual AFP berkata, mereka bergelut dengan kematian akibat Covid-19 di New York yang lebih daripada 500 sehari.

“Kebanyakan rumah pengebumian tidak mempunyai tempat penyejukan jika yang ada pun jumlahnya terhad,” kata Ken Brewster, pemilik rumah mayat Crowe di Queens.

Bagi Pat Marmo yang menguruskan lima rumah pengebumian di seluruh bandar itu mengakui tertekan apabila kehilangan seorang sepupu dan sahabat akibat pandemik itu.

“Hospital sedang menolak (kami). Mereka mahu keluarga mengambil (secepat mungkin) dan rumah pengebumian tidak mempunyai kemudahan untuk mengendalikan mayat ini,” katanya kepada AFP.

Marmo menganggarkan rumahnya kini berurusan dengan tiga kali ganda dan pengebumian dijangka dapat diselesaikan bulan depan.

“Kejadian ini sama seperti yang berlaku ketika tragedi 11 September,” katanya.

Mayat mangsa jangkitan koronavirus mungkin dikebumikan di taman awam New York.

“Mayat akan dikebumikan secara 10 keranda dalam satu baris. Ia akan dilakukan dengan cara yang bermaruah, teratur dan sementara,” tweet Mark Levine, seorang Ahli Majlis Manhattan.

Mark dilapor berkata, sejumlah 130,000 warga New York diuji positif virus itu, dengan 16,000 daripada mereka kini dirawat di hospital.

Setakat ini, sejumlah 4,758 kematian direkod di New York.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19