Sindiket guna dron hantar kokain

LONDON: Sindiket pengedaran kokain di bandar ini dikesan menggunakan dron untuk menghantar bekalan kepada pelanggan ketika tempoh kawalan pergerakan.

Mirror UK melaporkan taktik itu dipercayai digunakan untuk mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

Difahamkan, pelanggan akan meletakkan tuala berwarna terang di halaman rumah mereka sebagai penunjuk kepada pembekal dadah.

Sumber memberitahu, pengedar dadah bimbang tertangkap, jika keluar mengedar kokain.

“Tetapi dron ini membolehkan mereka menjalankan urus niaga tanpa keluar dari kediaman,” katanya.

Seorang pengedar di Cheshire berkata, dia hanya menggunakan tablet untuk mengendali dron yang boleh memuatkan 10 bungkusan dadah jenis itu, pada satu-satu masa.

“Polis menahan setiap orang di sekatan jalan raya, jadi bahaya jika membawa dadah bersama sewaktu memandu.

“Namun, dengan dron, saya boleh menghantar bekalan dari rumah dan kemudian mengambil duit daripada pelanggan di parkir pasar raya,” katanya.

Polis Sussex ,Deputi Superintendan Jo Banks berkata, permintaan terhadap dadah masih sama dan hanya rangkaian dan modus operandi sindiket sahaja yang berubah.

Dalam pada itu, United Kingdom sudah melanjutkan perintah lockdown bagi mengekang penularan Covid-19 di negara itu sehingga 1 Jun depan.