Singapura bakal perkenal pengesanan identiti guna wajah

Singapura: Republik Singapura akan menjadi negara pertama yang menggunakan pengesahan identiti rakyatnya menggunakan wajah.

Bagaimanapun, keputusan terbaharu itu mengundang kebimbangan data privasi akan disalah gunakan pihak tertentu.

Bermula tahun depan, jutaan rakyat yang tinggal di negara itu boleh mengakses agensi kerajaan, perkhidmatan perbankan dan kemudahan lain hanya menggunakan pengesanan wajah.

“Pemeriksaan biometrik ini tidak memerlukan seseorang itu mengingati kata laluan dan keselamatan untuk melakukan aktiviti harian,” kata pencipta sistem itu.

Ia sebahagian daripada perancangan hub kewangan untuk menggunakan pembayaran elektronik.

“Kami mahu menjadi inovatif dengan menghasilkan teknologi yang boleh memudahkan kehidupan rakyat dan perniagaan,” kata Kwok Quek Sin yang bertugas dengan agensi teknologi identifiksi Singapura GovTech kepada AFP.

Pengesanan wajah ini sudah dilaksanakan secara percubaan di beberapa negara seluruh dunia dengan Apple dan Google menggunakan aplikasi itu untuk mengaktifkan telefon dan membuat pembayaran.

Kerajaan juga sudah mula menggunakan teknologi sama di lapangan terbang untuk pemeriksaan pelancong dan keselamatan.

Singapura menjadi antara negara yang komited untuk menjadikan pengesanan wajah dalam pangkalan data kebangsaan.

Teknologi itu akan merakam beberapa gambar seseorang individu itu dalam pelbagai kadar pencahayaan.

Imej itu nanti akan disesuaikan dengan pangkalan data yang sudah tersedia dalam simpanan data kerajaan seperti kad pengenalan, pasport dan pas pekerja.