Singapura tawar ‘bonus bayi’ untuk galak kehamilan

Singapura: Singapura menawarkan pembayaran secara ‘one-off’ bagi menggalakkan warganya memiliki bayi ketika pandemik Covid-19.

Ini kerana, penduduk Singapura mengetepikan hasrat menjadi ibu bapa berikutan tertekan dengan keadaan kewangan dan kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun, jumlah pembayaran itu belum diperincikan namun, ia menjadi tambahan kepada beberapa bonus bayi yang ditawarkan kerajaan.

BBC melaporkan, Singapura adalah antara negara yang mencatatkan kadar kelahiran terendah di dunia, sejak beberapa dekad lalu.

Keadaan itu bertentangan dengan keadaan negara jiran seperti Indonesia dan Filipina, yang mencatatkan peningkatan jumlah kehamilan ketika perintah berkurung dilaksanakan.

“Kami menerima maklum balas bahawa Covid-19 menyebabkan ada pasangan yang menangguhkan hasrat mereka memiliki anak,” kata Timbalan Perdana Menteri Singapura, Heng Swee Keat.

Heng berkata, maklumat lanjut berkaitan bayaran itu akan diumumkan kelak.

Ketika ini, bonus bayi yang disediakan kerajaan Singapura mencecah SG$10,000 (RM30,604) dalam bentuk manfaat.

Angka kesuburan di Singapura mencecah paras terendah selama lapan tahun pada 2018, pada kadar 1.14 kelahiran setiap wanita.

Kebanyakan negara Asia turut berdepan masalah sama di mana ia semakin meruncing ketika pandemik yang masih berlaku ini.

Awal tahun ini, China mencatatkan kadar kelahiran direkodkan pada kadar terendah sejak 70 tahun lalu walaupun polisi ‘satu keluarga, satu anak’ dilonggarkan.

Filipina pula mencatatkan situasi berbeza di mana kehamilan tidak dirancang dijangka meningkat kepada 2.6 juta sekiranya sekatan pergerakan dilaksanakan sehingga akhir tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19