Sneaker dilelong RM4.07 juta

New York: Sepasang kasut sneaker diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi dan porselin dijangka dilelong pada harga mencecah AS$1 juta (RM4.07 juta).

AFP melaporkan kasut bermotifkan corak bunga itu akan dilelong dalam satu acara yang dikendalikan oleh syarikat lelongan terkemuka dunia, Sotheby’s.

Diberi nama ZX8000 Adidas, ia adalah hasil karya dua nama besar iaitu Adidas Originals dan pengeluar produk porselin terkenal dari Jerman, Meissen.

Pasukan khas mengambil masa sehingga enam bulan untuk menghasilkan kasut berkenaan dengan lukisan menyamai pasu ikonik Krater menjadi identiti kepada Meissen.

Ia membabitkan tiga pelukis dari tiga jabatan berlainan di Meissen bagi memastikan kasut itu sebagai karya seni bernilai tinggi.

Lelongan dijangka dibuka bermula pada harga AS$1 (RM4.07), tetapi Sotheby’s menjangkakan harga akhir mencecah AS$1 juta (RM4.07 juta).

“Terdapat permintaan di pasaran yang mencari kasut sneaker sebagai karya seni,” kata Brahm Wachter, Pengarah Pembangunan e-dagang di Sotheby’s.

Lelongan itu dibuat menerusi atas talian sehingga 16 Disember.

Dalam pada itu, sebahagian daripada hasil jualan kasut ini akan didermakan kepada Muzium Brooklyn di New York.

Ia bagi membantu usaha meningkatkan akses seni kepada golongan muda.

Untuk rekod, antara kasut sneaker termahal yang pernah dilelong adalah kasut Nike Air Jordan 1 yang dijual pada harga AS$615,000 (RM2.5 juta) pada Ogos lalu.