Solidariti guru dipenggal kepala

Paris: Puluhan ribu orang berarak di bandar utama di Perancis sebagai tanda solidariti terhadap seorang guru yang maut dipenggal kerana menunjukkan kartun yang didakwa Nabi Muhammad SAW.

Peserta tunjuk perasaan yang berhimpun di Place de la Republique memegang poster: ‘Tidak kepada pemikiran totalitarianisme” dan “Saya adalah guru”.

“Kamu tidak akan takutkan kami. Kami tidak gentar. Kamu tidak akan memecah-belahkan kami. Kami adalah warga Perancis! tulis Perdana Menteri Jean Castex, yang menyertai demonstrasi berkenaan.

Castex, diiringi oleh Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer; Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo dan Menteri Muda Dalam Negeri Marlene Schiappa.

Demonstrasi itu turut disertai oleh ahli politik dari parti utama.

Sebahagian daripada penunjuk perasaan melaungkan I am Samuelmerujuk kepada nama guru yang terbunuh dalam insiden berkenaan iaitu Samuel Paty, 47.

Selain itu, ada antaranya yang bertepuk tangan sambil ada ada yang melaungkan: “Kebebasan bersuara, kebebasan untuk mengajar”.

Media melaporkan mangsa dipenggal di luar sekolah dekat Conflans Saint-Honorine, kira-kira 5 petang (waktu tempatan), petang Jumaat lalu.

Guru guru sejarah berkenaan menunjukkan kartun Nabi Muhammad sebagai bahan perbincangan mengenai kebebasan bersuara.

Susulan kejadian, pihak berkuasa menahan seorang remaja lelaki kelahiran Moscow dan berasal dari Chechnya yang dipercayai suspek utama.

Selain itu, lima lagi individu, termasuk ibu bapa kepada seorang pelajar di sekolah guru berkenaan berkhidmat.

Ia sekali gus menjadikan jumlah mereka yang diberkas sehingga kini ialah seramai sembilan orang.

Perancis sebelum ini mencatatkan beberapa siri keganasan Islam, sejak serangan pada 2015 yang menyasarkan pejabat penerbitan majalah sensasi, Charlie Hebdo dan pasar raya Yahudi.