Stesen TV henti liputan sidang media Trump

Washington: Beberapa stesen penyiaran utama di Amerika Syarikat secara tiba-tiba menghentikan siaran langsung sidang media Rumah Putih, pada malam Khamis.

Ia selepas pihak berkenaan menyimpulkan bahawa Presiden Donald Trump pada penampilan pertamanya selepas malam pilihan raya Selasa lalu itu cuba menyebarkan maklumat palsu.

Trump dilihat menggunakan tempoh 17 minit itu berkenaan untuk menyatakan dakwaan demi dakwaan berhubung apa yang dikatakannya sebagai cubaan Parti Demokrat menggunakan undi tidak sah untuk ‘mencuri’ kemenangan.

Sidang media berkenaan diadakan Trump ketika calon Demokrat, Joe Biden dilihat semakin hampir untuk memperoleh undi majoriti untuk ke Rumah Putih.

“OK, sekali lagi kita berada dalam keadaan luar biasa untuk bukan sahaja memotong ucapan Presiden AS dan memperbetulkan beliau,” kata penyampai berita utama MSNBC, Brian Williams, sebelum stesen penyiar itu menamatkan liputan sidang media berkenaan.

Selain MSNBC, NBC dan ABC News turut menamatkan liputan sidang media sama.

“Malam menyedihkan untuk rakyat Amerika apabila mendengar presiden menyatakan dakwaan sedemikian, apabila mendakwa orang lain cuba mencuri kemenangannya,” kata Jake Tapper dari CNN.

Tapper turut menggambarkan ‘pembohongan demi pembohongan berhubung kemenangan yang dicuri’ tanpa mengemukakan sebarang bukti sebagai ‘perbuatan kotor’.