Stormtrooper kekang wabak

Manila: Penduduk di sekitar Barangay Panghulo, Malabon dikejutkan dengan kehadiran bala tentera Darth Vader, Stormtrooper pada Khamis lalu.

Namun, mereka sebenarnya adalah anggota pasukan keselamatan Barangay yang menggunakan pendekatan kreatif memakai kostum watak dari filem Star Wars bagi mendidik masyarakat mematuhi perintah berkurung.

Memetik portal Philstar, salah seorang anggota pasukan, Muriel Baldago berkata, mereka memilih pendekatan itu berbanding memakai pakaian seragam bagi mewujudkan suasana berbeza dan menghiburkan masyarakat.

'STORMTROOPER’ dan Darth Vader menguatkuasakan perintah berkurung kepada penduduk Barangay. FOTO Agensi
‘STORMTROOPER’ dan Darth Vader menguatkuasakan perintah berkurung kepada penduduk Barangay. FOTO Agensi

Katanya, dia menghasilkan kostum berkenaan menggunakan bahan kitar semula seperti tikar getah dari kenderaan yang dicantumkan dengan pita dan gam.

Pedang lampu merah Darth Vader pula dibuat menggunakan mop yang sudah lusuh.

“Ini cara kami menyampaikan aura positif dan menghiburkan jadi orang ramai boleh melupakan masalah mereka seketika,” katanya.

Sementara itu, Ketua Barangay, Ian Borja berkata, langkah itu bagi mengingatkan orang ramai mengenai bahaya penularan Covid-19.

“Ternyata, cara ini berhasil menjadi perhatian dan menceriakan suasana,” katanya.

Semalam, Presiden Filipina Rodrigo Duterte menyambung kembali tempoh kuarantin di Manila hingga 15 Mei.

Ia sekali gus menjadikan negara yang melaksanakan langkah paling ketat untuk mengekang Covid-19 apabila tempoh kuarantin di ibu negara itu memasuki lapan minggu.

Setakat ini, Filipina merekodkan kes 8,772 positif Covid-19 dengan 579 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19