Suami tumbuk jerung demi isteri

Sydney: Seorang lelaki dianggap sebagai ‘hero’ apabila menumbuk berulang kali ikan jerung sehingga melepaskan gigitan kaki isterinya.

Polis berkata, dalam kejadian pagi Sabtu itu, pasangan berkenaan sedang seronok meluncur air di pantai berhampiran Port Macquire, empat jam perjalanan di utara Sydney, apabila secara tiba-tiba kaki kanan wanita itu digigit sebanyak dua kali.

“Suami mangsa menumbuk ikan jerung berkenaan sehingga ia melepaskan gigitannya,” kata polis dalam satu kenyataan.

Ahli paramedik yang bergegas ke tempat kejadian merawat mangsa berusia 35 tahun di pantai berkenaan sebelum dihantar ke hospital untuk menjalani pembedahan.

Sementara itu, seorang saksi yang berada dekat dengan kejadian berkata, seekor jerung putih yang menyerang mangsa berukuran kira-kira tiga meter panjang.

“Suami mangsa selamatkannya. Dia seorang hero,” kata Jed Toohey kepada Daily Telegraph.

Suami mangsa, Mark Rapley, ketika memberitahu akhbar itu berkata, dia melakukan apa yang sepatutnya seorang suami perlu lakukan bagi melindungi isteri.

Australia mencatatkan kes serangan ikan jerung antara yang tertinggi di dunia dan setakat ini menyebabkan lima kematian.