Sukarelawan uji vaksin Covid-19 maut

Rio De Janeiro: Sukarelawan ujian klinikal vaksin Covid-19 yang dibangunkan Universiti Oxford disahkan meninggal dunia di Brazil, semalam.

Setakat ini, sama ada lelaki itu menerima vaksin berkenaan atau plasebo tidak dapat dipastikan.

Ia adalah kematian pertama dilaporkan dalam ujian vaksin Covid-19 yang dijalankan di seluruh dunia.

Penganjur kajian itu memaklumkan, penilaian bebas mengambil kesimpulan bahawa tidak timbul masalah membabitkan keselamatan dan pengujian vaksin terbabit yang dibangunkan bersama firma farmaseutikal, AstraZeneca malah ujian itu akan diteruskan.

Oxford dalam kenyataan berkata, sukarelawan terbabit adalah seorang doktor berusia 28 tahun yang bertugas sebagai barisan hadapan dan meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

“Semua insiden perubatan yang signifikan, sama ada peserta berada dalam kumpulan kawalan atau kumpulan vaksin Covid-19, dinilai secara bebas.

“Hasil penilaian teliti terhadap kes di Brazil, tiada kebimbangan mengenai keselamatan ujian klinikal itu. Malah penilaian bebas sebagai tambahan kepada yang dijalankan oleh pihak berkuasa Brazil mengesyorkan ujian itu diteruskan,” katanya.

Pihak berkuasa kesihatan kebangsaan, Anvisa mengesahkan sudah dimaklumkan secara rasmi mengenai kes itu pada 19 Oktober lalu.

Pada September lalu, Oxford dan AstraZeneca terpaksa menggantung ujian vaksin berkenaan apabila seorang sukarelawan di Britain mengalami penyakit tidak dapat dijelaskan.

Ujian disambung semula selepas pihak berkuasa Britain dan satu penilaian bebas dilapor merumuskan bahawa penyakit itu bukan kesan sampingan vaksin berkenaan.

Menurut Institut Pengajaran dan Penyelidikan D’Or (IDOR) yang membantu penganjuran ujian berkenaan di Brazil, separuh daripada sukarelawan pada ujian klinikal peringkat terakhir itu menerima plasebo.

Setakat ini, katanya, kira-kira 8,000 sukarelawan menerima vaksin di Brazil dan lebih 20,000 di seluruh dunia.

Akhbar Brazil, Globo, melaporkan sukarelawan meninggal dunia itu adalah doktor muda yang sering merawat pesakit Covid-19 di bilik kecemasan dan unit rawatan rapi di dua hospital di Rio de Janeiro sejak Mac lalu.

Ahli keluarga serta rakan memberitahu akhbar itu, mangsa menamatkan pengajian dalam bidang perubatan pada tahun lalu dan berada dalam keadaan sihat sebelum dijangkiti virus berkenaan.