Sukarelawan ujian vaksin Covid-19 alami penyakit neurologi

London: Ujian klinikal vaksin Covid-19 yang dijalankan syarikat farmaseutikal AstraZeneca dihentikan sementara selepas dua sukarelawan di United Kingdom mengalami penyakit neurologi yang serius, lapor Mirror Online.

Pakar menyuarakan kebimbangan terhadap fasa ujian klinikal vaksin Covid-19 itu apabila AstraZeneca terpaksa menghentikan percubaan berkenaan buat kali kedua, ujian terakhir dihentikan awal bulan ini.

Sukarelawan yang menjalani ujian itu didapati mengalami penyakit radang yang jarang berlaku menyebabkan kecederaan pada saraf tunjang, perubahan deria, dan disfungsi autonomi, menurut National Organisation for Rare Disorders.

AstraZeneca menjelaskan, pihaknya belum dapat mengesahkan diagnosis dalam kes kedua ujian itu, sukarelawan jatuh sakit selepas menerima dos kedua vaksin.

“Jika ada dua kes (ujian vaksin), maka permulaan ini memperlihatkan satu paten yang bahaya.

“Sekiranya kes ketiga penyakit neurologi muncul lagi dalam kumpulan sukarelawan, maka vaksin ini ‘berakhir’,” kata pakar vaksin dari Universiti Oregon Health and Science, Mark Slifka.

Ujian klinikal vaksin Covid-19 yang dijalankan AstraZeneca ketika ini hanya dihentikan sementara di Amerika Syarikat (AS), tetapi masih diteruskan di Britain, Brazil, India dan Africa Selatan.

Kira-kira 18,000 individu di seluruh dunia ini sudah menerima vaksin percubaan keluaran syarikat itu, lapor the New York Times.

AstraZeneca menerusi laporan rangka tindakan setebal 111 muka surat, dikenali sebagai protokol, menyatakan sasaran penghasilan vaksin itu dengan keberkesanan 50 peratus.

Untuk menentukan sama ada syarikat terbabit mencapai sasaran itu, seramai 150 pesakit Covid-19 diberi vaksin dan difahamkan, analisis awal hanya dilakukan selepas 75 kes ujian dijalankan.

Sekiranya vaksin berkesan 50 peratus pada ketika itu, AstraZeneca boleh menghentikan ujian lebih awal dan memohon kebenaran kerajaan untuk melepaskan penggunaan vaksin berkenaan bagi kegunaan kecemasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19