Sumbat papan peluncur ke mulut jerung

PERTH: Seorang lelaki di Australia terselamat selepas menggunakan papan peluncur air sebagai pelindung bagi mengelak dibaham jerung.

Dalam kejadian di Bunker Bay, kira-kira 150 kilometer dari Perth, 31 Julai lalu, Phil Mummert, 28, melakukan sukan luncur air sebelum papan luncurnya dirempuh haiwan sepanjang hampir lima meter dan menggigit kakinya.

Portal Mirror melaporkan Phil terselamat apabila memasukkan papan peluncur ke mulut jerung putih itu serta menumbuk muka haiwan itu.

Bagaimanapun, lelaki itu parah apabila kakinya sempat dibaham haiwan itu.

Tiga rakan Phil membantu menyelamatkannya dan membawanya ke pesisir pantai sebelum dikejarkan ke hospital. Dia menerima 63 jahitan.

“Tak percaya masih hidup atau sekurang-kurangnya kehilangan kaki.

“Saya ingat separuh ekornya masih terlekat pada saya dengan kaki berada di dalam mulutnya.

“Saya sempat masukkan papan luncur ke mulut jerung itu. Saya fikir jika gigit peluncur itu dia tidak dapat gigit saya lagi,” katanya kepada majalah Magic Seaweed.

Tahun ini, lima kematian dilaporkan di Australia akibat serangan jerung.