Syarat pelik untuk bakal isteri!

New Delhi: Tidak ketagih media sosial. Itu antara syarat ditetapkan seorang lelaki kepada wanita yang mahu menjadi isterinya.

Syarat itu sebahagian daripada iklan mencari jodoh yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan sebelum tular di media sosial terutamanya Twitter, semalam.

Iklan itu dibayar seorang peguam berusia 37 tahun dari Bengal Barat yang mahu mencari wanita yang mahu menjadi isterinya.

Nitin Sagwan yang bertugas dalam perkhidmatan awam India kemudian berkongsi foto iklan itu di media sosial dengan komen berbaur sindiran.

“Perhatian kepada bakal pengantin. Kriteria pemilihan sudah bertukar,” katanya.

Dalam iklan itu, lelaki itu turut menyatakan umur, pekerjaan dan lokasi kediamannya.

“Tiada permintaan lain kerana hanya mahu mencari pengantin yang sederhana, cantik, tinggi dan kurus. Pengantin wanita juga bukan seseorang yang ketagih media sosial,” antara syarat dalam iklan berkenaan.

IKLAN mencari jodoh yang dibayar oleh seorang lelaki. FOTO Agensi
IKLAN mencari jodoh yang dibayar oleh seorang lelaki. FOTO Agensi

Tidak lama selepas iklan itu dimuat naik dalam media sosial, orang ramai mula berkongsi hantaran (posting) berkenaan.

Mereka turut memberi pelbagai komen lucu.

Rata-rata berpendapat bahawa permintaan di dalam iklan itu adalah mengarut dan tidak sesuai pada zaman ini.

“Kriteria itu cuba menunjukkan pandangan bahawa wanita yang tidak kurus dan tidak cantik tidak mempunyai apa-apa nilai. Apa yang dimaksudkan sebagai cantik?” kata pengguna Twitter @MD21653291.

“Dia akan mati tanpa berkahwin,” kata seorang lagi pengguna Twitter, @Priyankadixit01.

Namun, tidak kurang yang memberikan ucapan positif kepada lelaki terbabit walaupun syarat yang dikenakan tidak realistik.

Pemilik akaun Twitter, @sumanthbharatha pula menulis: “Dia mahukan wanita tinggi, kurus, cantik selain berharap wanita itu tidak mempunyai Instagram. Selamat maju jaya.” – Agensi