Tahan lapar 3 hari ditolak kenalan IG

New Delhi: Gara-gara menolak lamaran seorang lelaki dikenali menerusi Instagram (IG), seorang wanita nyaris mati kelaparan selepas ditolak ke dalam telaga besar yang sangat dalam.

Gulf News melaporkan mangsa berusia 22 tahun itu terpaksa berlapar dan menahan dahaga selama tiga hari.

Dia bernasib baik kerana terdapat semak-samun di dalam perigi berkenaan.

Mangsa terselamat selepas jeritannya didengari penduduk yang menghubungi pasukan penyelamat.

Pasukan penyelamat berkenaan kemudian membawa keluar mangsa.

Bagaimanapun, tangan wanita itu patah akibat terjatuh ke dalam telaga itu.

Media tempatan melaporkan insiden itu berlaku di sebuah kampung berhampiran Devanahalli, dekat Devanahalli.

Menurut mangsa, dia dibawa ke lokasi kejadian oleh suspek yang berusia 22 tahun yang dikenali menerusi IG.

Mereka berkenalan melalui media sosial berkenaan, sejak sebulan lalu.

Mangsa berkata, suspek bersungguh-sungguh mahu bertemu dengannya dan mereka berjanji untuk bertemu pada 10 Oktober lalu.

Dia kemudian menaiki bas dari kampungnya di Kolar ke Devanahalli.

“Saya tiba di Devanahalli kira-kira jam 5.30 petang dan lelaki itu mengambil saya dengan skuter.

“Saya dibawa ke sebuah kampung dan di situ, dia (suspek) meluahkan perasan untuk melamar. Tetapi saya menolaknya kerana sudah berkahwin dan mempunyai anak lelaki,” katanya.

Jurucakap Polis Vijayapura memaklumkan suspek sudah ditahan dan disiasat kerana cubaan membunuh.