Tahi bintang 4 bilion tahun dipulangkan

Sydney: Satu serpihan meteorit (tahi bintang) bersaiz bola sepak dianggarkan berusia lebih empat bilion tahun di Australia, dikembalikan kepada ‘penjaganya’.

Ia apabila objek berkenaan yang hilang selepas dicuri dari sebuah muzium di Far North Queensland, lima tahun lalu, ditemui.

Portal ABC News melaporkan, serpihan meteorit seberat 11 kilogram itu ditemui di kawah Wolfe Creek di barat Australia pada 1973 oleh Stuart Foster.

Individu itu adalah rakan kepada pemilik muzium Crystal Caves di Atherton.

Ghislaine Gallo dan Cecilia Boissevain yang kini menguruskan muzium itu mengatakan meteorit itu sangat berharga untuk perniagaan keluarga terbabit.

Bagaimanapun, tahi bintang itu dicuri, dua minggu selepas ia disumbangkan kepada muzium pada 2015.

Dua lelaki ditahan selepas aksi mereka mencuri dirakam kamera litar tertutup (CCTV) bangunan itu.

Bagaimanapun, serpihan tahi bintang itu dilaporkan hilang dan tidak dapat dikesan.

Pada Sabtu, Polis Queensland mendapatkan waran penggeledahan di sebuah premis di Cairns dan menemui serpihan tahi bintang itu.

Meteorit itu dianggarkan bernilai lebih 16,000 Dolar Australia (RM47,925).

Polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung penemuan serpihan tahi bintang berkenaan.

Dalam pada itu, Gallo dan Boissevain gembira dengan penemuan objek berkenaan.

Gallo mengatakan dia terkejut ketika dipanggil polis tetapi gembira selepas melihat serpihan tahi bintang berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan meletakkan meteorit itu di dalam bekas kaca bagi mengelak kejadian ia dicuri daripada berulang. Agensi