Tahlequah lahir anak Jumaat lalu

Washington: Seekor paus yang sebelum ini menarik perhatian dunia apabila berenang dengan menarik anaknya yang sudah mati, selama 17 hari pada 2018 kembali bergelar ibu.

Berita gembira itu dikongsikan Pusat Kajian Ikan Paus di sini, menerusi satu kenyataan di laman sesawangnya.

Menurut kenyataan itu, paus dikenali saintis dengan J35 atau lebih dikenali masyarakat dengan nama Tahlequah dipercayai melahirkan anaknya, Jumaat lalu.

“Anaknya kelihatan sihat dan amat comel. (Anak ikan paus itu) berenang bersama ibunya pada hari kedua ia dilahirkan,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, pusat berkenaan tidak mendedahkan jantina anak paus itu.

Namun, berdasarkan kenyataan sama, Tahlequah tidak berenang bersama-sama ikan paus lain, ketika memasuki perairan Kanada.

“Jadi, kita hanya berpeluang melihat (anak Tahlequah) untuk beberapa minit dan mengucapkan selamat jalan kepadanya,” katanya.