Tak larang rentas sempadan elak jejas rakyat desa

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo mempertahankan tindakannya tidak melaksanakan larangan rentas sempadan kerana ia akan menjejaskan kehidupan rakyat terutama di luar bandar.

Dalam satu kenyataan, beliau yang lebih mesra dipanggil sebagai Jokowi berkata, kerajaan tetap mengutamakan kesihatan rakyat, tetapi tidak akan mengetepikan kepentingan ekonomi negara.

“Keutamaan kepada kesihatan rakyat tidak bermakna kita perlu mengorbankan sektor ekonomi.

“Sekiranya kepentingan ekonomi diketepikan, ini bermakna puluhan juta rakyat akan terjejas kehidupan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan video, malam tadi.

Kenyataan itu dibuat selepas kes jangkitan Covid-19 di Indonesia terus memuncak dengan peningkatan kepada 303,498 kes, dengan kes kematian 11,151 iaitu tertinggi di Asia.

Jokowi turut mempertahankan komitmennya dalam memerangi pandemik Covid-19 dan menggesa supaya tidak timbul polemik atau kekecohan berhubung ada yang mendakwa dia lebih mementingkan ekonomi berbanding kesihatan orang awam.

“Memerangi pandemik ini sangat sukar, ia memerlukan kerjasama erat semua pihak dan saya percaya kita boleh melakukannya,” katanya.

Sementara itu, Kompas melaporkan, Jokowi berkata, pandemik Covid-19 masalah baharu yang berlaku di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19