Tak mengaku kalah, Trump pergi main golf

Washington: Presiden Donald Trump yang masih enggan mengaku kalah dalam Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) dilihat meninggalkan Rumah Putih untuk bermain golf.

Beliau meninggalkan Rumah Putih pada pagi Sabtu ketika undi penting daripada Pennsylvania dan beberapa negeri lain yang menentukan nasibnya, dikira.

Selepas petunjuk jelas pesaingnya Joe Biden akan menang, Trump dilihat bertolak ke Padang Golf Kebangsaan Trump di Sterling, Virginia.

Trump berada di situ ketika stesen penyiaran utama AS, bermula dengan CNN, kemudian NBC, CBS, ABC dan akhirnya Fox – mengumumkan keputusan pengiraan undi di Pennsylvania.

Beliau turut berada di situ ketika pejabatnya mengeluarkan kenyataan menafikan kemenangan Biden dengan mendakwa calon Demokrat itu ‘tergesa-gesa mengumumkan kemenangan’.

Bagaimanapun, Trump dilihat tenang ketika selesai bermain golf pada tengah hari, meskipun tiada markah diumumkan.

Malah, presiden turut bergambar bersama-sama pasangan pengantin yang mengadakan penggambaran di situ, berdasarkan satu video dimuat naik di rancangan media sosial.

Memakai seluar dan jaket berwarna kelabu serta topi tertulis

‘Make America Great Again’, dia turut dilihat bergurau.

Ketika beliau berlalu, beberapa orang menjerit: “Kami cintakan kamu. Kami cintakan kamu!”.

Dalam pada itu, ribuan penyokong Biden sudah berhimpun di depan Rumah Putih dan lokasi lain di seluruh negara, ketika kenderaan membawa Trump menghala balik ke Rumah Putih.

Presiden tidak mempunyai urusan lain pada Sabtu.

Berita berkaitan:

  • Biden menang pilihan raya, bakal Presiden ke-46