Tak pernah potong rambut sejak berusia enam tahun

New Delhi: Tidak pernah memotong rambut sejak berusia enam tahun membolehkan gadis dari Gujarat ini mengekalkan rekod sebagai remaja memiliki rambut terpanjang di dunia.

Nilanshi Patel, 18, sebelum ini dua kali memegang rekod dunia dengan kali pertama pada 21 November 2018 dengan panjang rambut 170.5 sentimeter (cm).

Rekod kedua diiktiraf Guinness World Records pada 22 September 2019 dengan panjang rambut 190cm manakala yang terkini diukur beberapa hari sebelum hari lahir Nilanshi yang ke-18 pada Ogos lalu.

Dengan catatan 200cm, rekod itu mengekalkan Nilanshi sebagai remaja memiliki rambut terpanjang di dunia sebelum dia tidak layak untuk bertanding kategori berkenaan mulai tahun depan.

“Saya pernah menerima potongan rambut yang buruk ketika berusia enam tahun dan sejak itu memutuskan tidak mahu memotongnya lagi,” katanya seperti dilapor UPI.

Untuk rekod itu, rambut gadis dengan jolokan Rapunzel terbabit perlu diukur ketika basah bagi mendapatkan ukuran yang tepat dan ia perlu diletakkan di atas permukaan yang rata.

Nilanshi memaklumkan belum membuat memutuskan sama ada mahu bertanding kategori dewasa atau tidak.