Tak pernah puas besarkan pipi

Kiev: Seorang model Instagram di Ukraine masih gian untuk mencantikkan pipinya yang sudah dianggap sebagai pipi terbesar di dunia.

Anastasia Pokreshchuk, 30, sudah membelanjakan hampir AS$2,000 (kira-kira RM8,200) untuk mencantikkan pipinya sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berhenti daripada melakukan pengubahsuaian terhadap wajahnya dan mengakui sudah ‘jatuh cinta’ dengan penampilan terbaharunya itu.

“Mungkin ada yang anggap pipi ini sudah terlalu besar, namun saya fikir ia agak kecil dan saya perlu mencantikkannya lagi,” katanya seperti dilaporkan Mirror Online.

Bukan sekadar di pipinya saja, Anastasia turut melakukan pengubah suaian pada bibir dan mulut.

Malah, dia turut menjalani prosedur suntikan botox pada dahi, rahang dan dagu untuk memberikan bentuk muka yang baharu.

Dia juga turut berkongsi penampilan terbaharunya di laman Instagram yang memiliki 220,000 pengikut dengan catatan: “Sedar kelihatan pelik”.

“Saya sukakannya (wajah) berbentuk sedemikian dan sangat gembira. Saya juga sering menyuntik sendiri bahagian lain pada wajah,” katanya.

Dia juga mengakui menerima banyak komen negatif daripada warganet tetapi mengambil sikap untuk tidak mempedulikannya.

“Ada juga terima mesej dan komen keterlaluan mengenai wajah ini namun ia hanya menyebabkan saya ketawa,” katanya.

Dalam pada itu, wanita itu memberitahu akan melengkapkan transformasi wajahnya dengan menjalani pembedahan bagi membesarkan payudaranya.

“Saya mahu membesarkan payudara kerana dikurniakan dengan payudara bersaiz kecil,” katanya.