Tak tahan dipersenda, remaja bunuh rakan

Jakarta: Sering dipersendakan menyebabkan seorang remaja berang dan bertindak memukul rakannya dengan penukul hingga mati.

Tribun News melaporkan, Muhammad Imron, 18, membunuh rakannya, Redi Setyo, 20, di sebuah bengkel terletak di Jalan Letjen S Parman, Kota Malang, Jawa Timur pada 3 September lalu.

Ketua Polis Malang Kota, Leonardus Simarmatra berkata, kejadian itu bermotifkan dendam dan perasaan sakit hati suspek terhadap mangsa yang sering mengejeknya kerana bermain permainan video.

“Pembunuhan itu berlaku kerana suspek sakit hati dengan kata-kata mangsa hingga dia sanggup membunuh rakannya sendiri.

“Suspek melakukan perbuatan itu ketika mangsa sedang asyik bermain telefon bimbit dengan menghentak belakang kepala rakannya menggunakan penukul sebanyak dua kali.

“Selain itu, suspek turut memukul bahu kanan dan dada mangsa,” katanya.

Selepas membunuh rakannya itu, suspek yang bekerja sebagai tukang cuci bengkel melarikan diri dengan menaiki pengangkutan awam.

Dia dipercayai pulang ke kampung halamannya di Janung dan bersembunyi di kawasan sawah.

Bagaimanapun, suspek akhirnya ditangkap pihak polis selepas 36 jam polis menemui mayat mangsa.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 338 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) dan berdepan hukuman 15 tahun penjara jika sabit kesalahan,” katanya.