Tanam bayi menangis

Banda Aceh: Gara-gara bimbang diketahui melahirkan anak hasil hubungan terlarang, seorang wanita di Indonesia tergamak menanam bayi berkenaan hidup-hidup.

Lapor Kompas.com, wanita berusia 36 tahun yang sudah berkahwin melahirkan anak hasil hubungan sulit dengan lelaki lain namun lelaki itu tidak mahu bertanggungjawab.

Lebih menyedihkan, insiden ini berlaku ketika suaminya masih menjalani hukuman penjara di Aceh Tenggara.

Ketua Siasatan Jenayah Polis Aceh Tengah, Agus Riwayanto Diputra mengesahkan suspek nekad menanam bayinya kerana bimbang rahsianya terbongkar.

“Suspek melahirkan anak seorang diri tanpa bantuan bidan sebelum membersihkannya menggunakan kain batik dan membedung dengan kain panjang dalam keadaan tali pusatnya belum dipotong.

“Suspek yang panik nekad menanam anaknya dalam keadaan bayi itu menangis,” katanya.

Katanya, rahsia wanita itu terbongkar selepas jiran datang untuk memeriksa rumahnya selepas mendapat maklumat kelahiran misteri itu.

“Bayi lelaki yang masih bernyawa berjaya diselamatkan jiran wanita itu dalam timbunan tanah di belakang rumahnya.

“Namun, bayi itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.