Taufan Bavi diramal badai Jeju

Seoul: Taufan Bavi diramal bergerak menuju Semenanjung Korea, pada Isnin, dan keesokannya dijangka membadai pulau Jeju, lapor agensi berita Yonhap.

Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) berkata ribut tropika kelapan itu terbentuk di pesisir timur Taiwan, kini berada sekitar 270 kilometer di pantai barat Pulau Okinawa Jepun dan bergerak dengan kekuatan angin kira-kira sembilan kilometer sejam.

Sehingga 3 pagi Isnin, taufan itu merekodkan kelajuan angin tertinggi iaitu 102 kilometer sejam.

Taufan itu dijangka melewati pantai barat pulau peranginan Jeju pada Rabu petang dan diramal bergerak ke kawasan berdekatan Seoul pada Khamis.

KMA menjangkakan kekuatan ribut berada pada kemuncaknya kira-kira 3 pagi Rabu dan menasihatkan orang ramai bersiap sedia serta mengambil langkah-langkah keselamatan.

Kekuatan angin mungkin akan mencecah 144-216 kilometer sejam di Jeju dan di pesisir wilayah barat Jeolla pada Rabu malam hingga Khamis.

Taufan itu melanda ketika negara masih terkesan dengan musim hujan terpanjang pernah direkodkan, mencetuskan hujan lebat dan banjir kilat selain mengorbankan puluhan nyawa, kerosakan harta benda serta infrastruktur.