Taufan Maysak: China keluar amaran tahap biru

Beijing: China keluarkan amaran tahap biru hari ini susulan taufan Maysak, dijangka membawa angin kencang dan hujan ribut di timur dan utara China, lapor agensi berita Xinhua.

Pada 8 pagi, taufan kesembilan tahun ini berada sekitar 280 kilometer (km) di Changbai, di selatan wilayah Jilin timur laut China, kata Pusat Meterologi Nasional (NMC) dalam satu kenyataan.

Taufan yang mulai lemah bertukar menjadi ribut tropika dengan kelajuan angin maksimum 30 meter sesaat, menurut NMC.

NMC meramalkan Maysak akan bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan sekitar 60 km sejam dan menjadi lemah secara beransur-ansur.

Bermula Khamis petang hingga Jumaat petang, angin kencang dijangka melanda bahagian Laut Kuning, Laut Bohai dan sebahagian Liaoning, Jilin, Heilongjiang dan Inner Mongolia.

Pusat itu pada Khamis juga mengeluarkan amaran tahap biru hujan ribut, yang dijangka melanda sebahagian Heilongjiang, Jilin, Liaoning dan Inner Mongolia.

NMC menasihati orang ramai dan kapal di daerah yang dilanda bencana untuk berlindung dari angin dan terus berwaspada terhadap kemungkinan banjir, tanah runtuh dan gelongsor lumpur.

China mempunyai sistem amaran cuaca empat peringkat, merah mewakili cuaca paling buruk, diikuti oren, kuning dan biru.