Taufan Nisarga: 100,000 penduduk dipindahkan

Mumbai: Sekurang-kurangnya 100,000 orang, termasuk pesakit Covid-19 dipindahkan ke lokasi lebih selamat bagi menghadapi Taufan Nisarga yang dijangka membadai pantai barat India.

Ia adalah kejadian pertama yang mengancam Mumbai dalam tempoh 70 tahun.

Taufan itu dijangka sampai ke kawasan darat pada tengah hari atau petang hari ini.

Pihak berkuasa di hab kewangan negara itu kini bertungkus-lumus memindahkan kira-kira 150 pesakit Cpvid-19 dari sebuah hospital sementara ke fasiliti dengan bumbung konkrit.

Ketua Menteri Maharashtra, Uddhav Thackeray berkata, penduduk berhampiran kawasan pantai juga sudah dipindahkan ke lokasi lebih selamat.

“Penduduk setinggan di kawasan rendah juga sudah diarah supaya berpindah,” ciapnya menerusi Twitter.

Kali terakhir Mumbai dilanda taufan adalah adalah pada 1948, yang menyebabkan 12 orang terbunuh dan mencederakan lebih 100 orang.

Ahli meteorologi India sudah memberi amaran hujan lebat dengan angin kencang antara 1000 dan 110 kilometer sejam.

Taufan Nisarga juga melanda negeri bersebelahan iaitu Gujarat.