Taufan Vongfong landa Filipina

Manila: Lebih 140,000 individu terpaksa tinggal di tempat perlindungan yang sempit ketika Taufan Vongfong melanda Filipina.

Hujan lebat dan ribut melanda sejak semalam memburukkan lagi keadaan negara itu yang kini turut berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Polis tempatan, Carlito Abriz memberitahu AFP bahawa pihaknya sedang melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Kami perlu memakai pelitup muka dan amalkan penjarakan sosial. Ia sukar untuk dikuatkuasakan kerana mereka berada dalam keadaan tertekan bagaimanapun kami cuba yang terbaik,” katanya.

Pihak berkuasa berkata pusat perlindungan sementara itu akan berfungsi secara separuh kapasiti daripada kebiasaan, menyediakan pelitup muka kepada yang tidak memiliknya serta berusaha memastikan keluarga dapat dikumpulkan bersama.

Bagaimanapun, ruang yang biasanya digunakan untuk menempatkan mangsa ribut sudah diubah menjadi tempat kuarantin bagi mereka yang disyaki menjangkiti wabak Covid-19.

Sehingga kini sudah 11,800 individu dijangkiti wabak tu dengan 790 kematian.