Tekanan melampau, penasihat Trump tarik diri

Washington: Brad Parscale, penasihat kanan untuk kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menarik diri bagi mendapatkan bantuan terhadap ‘tekanan yang melampau’ lapor agensi berita Xinhua.

“Saya mengundurkan diri dari syarikat saya dan sebarang peranan dalam kempen itu untuk masa depan bagi memberi tumpuan kepada keluarga saya dan mendapatkan bantuan menangani tekanan yang luar biasa,” kata Parscale dalam satu kenyataan kepada media AS, pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Parscale dibawa ke sebuah hospital setelah isterinya melaporkan bahawa beliau bersenjata dan mengancam akan mencederakan dirinya sendiri di dalam rumah mereka di Fort Lauderdale, Florida.

Parscale, 44, meletak jawatan sebagai pengurus kempen Trump 2020 pada Julai tetapi terus terbabit mengawasi strategi digitalnya.

Beliau digantikan oleh Bill Stepien, bekas Pengarah Hal Ehwal Politik Trump di Rumah Putih.