Telan duit kertas, syiling, paku, pemetik api

Kaherah: Mengejutkan apabila doktor mengeluarkan wang kertas 6,500 pound Mesir (kira-kira RM1,713) dari perut seorang lelaki di Mesir.

Gulf News yang memetik laporan media tempatan melaporkan ia dikesan selepas lelaki berkenaan menjalani pembedahan di Hospital Qasr El Eyni di sini.

Berdasarkan akhbar itu, lelaki berkenaan pada mulanya tiba di hospital dan mengadu berasa amat sakit di bahagian perut.

Dia kemudian mengaku kepada kakitangan hospital bahawa dia menelan duit dalam jumlah yang banyak dalam jangka masa lama.

Selepas menjalani pembedahan, doktor berjaya mengeluarkan semua wang kertas berkenaan.

Bagaimanapun, akibat perbuatannya itu, doktor mengesahkan lelaki terbabit turut menghidap jangkitan pada bahagian perut dan ususnya.

Dr Abdul Rahman Mustafa yang menjalankan pembedahan itu berkata, empat gulungan besar wang kertas berjumlah 6,500 pound Mesir dikeluarkan dari perut lelaki terbabit.

Beliau bagaimanapun berkata, ia bukan satu-satunya benda pelik yang ditelan lelaki berkenaan.

“Lelaki itu didapati turut menelan duit syiling, 39 paku dan pemetik api,” katanya.