Telan pisau hilang ketagih ganja

NEW DELHI: Seorang lelaki di India sanggup menelan pisau sepanjang 20 sentimeter demi menghilangkan ketagihan ganja, baru-baru ini.

Akibatnya, lelaki berusia 28 tahun itu dikejarkan ke Hospital Safdarjung di sini, selepas mengadu sakit di bahagian perut.

Gulf News yang memetik laporan satu agensi berita di India melaporkan ahli keluarganya terkejut apabila keputusan imbasan sinar-X mendapati terdapat pisau di dalam perut lelaki berkenaan.

Lelaki itu kemudiannya terpaksa menjalani pembedahan bagi mengeluarkan pisau itu dengan bantuan sekumpulan doktor di Institut Sains Perubatan All India (AIIMS) pada 19 Julai lalu.

Menurut Prof Dr N R Das dari Jabatan Gastroenterologi AIMS, lelaki terbabit dipercayai menelan pisau berkenaan selepas tidak dapat menghisap ganja.

“Dia kemudian menjalani kehidupan seperti biasa dan perbuatannya tidak disedari keluarganya.

“Lebih sebulan kemudian, barulah dia mengalami kesakitan pada bahagian perut sebelum keluarganya membawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Proses pembedahan sangat mencabar kerana pisau itu berada berhampiran dengan hati pesakit dan kita mengambil masa selama tiga jam untuk mengeluarkannya,” katanya.

Menurut Dr Das, pembedahan juga agak sulit kerana pisau itu berada berhampiran dengan hempedu dan saluran darahnya.

“Kesilapan kecil saja boleh meletakkan dirinya dalam bahaya, jadi kita lakukannya dengan berhati-hati,” katanya.