Teleskop coklat

Las Vegas: Pelbagai cara untuk menzahirkan kreativiti termasuk idea seorang cef yang menyiapkan teleskop hanya menggunakan coklat.

Video Amaury Guichon menyiapkan teleskop sepanjang 1.5 meter itu tular di media sosial baru-baru ini dan mendapat respon positif daripada peminat coklat.

Lelaki terbabit membuat teleskop berkenaan di dapur rumahnya sebelum berkongsi video proses pembuatan di Facebook (FB).

Namun tidak disangka, perkongsian video itu ditonton lebih empat juta warganet dalam tempoh seminggu selain mendapat 118,000 komen.

“Ini adalah rekaan coklat paling rumit yang pernah saya buat setakat ini dan dibuat dengan sangat teliti,” katanya dalam video berkenaan.

Menerusi video berdurasi tiga minit dan 13 saat itu, Guichon menyiapkan beberapa bahagian teleskop berkenaan menggunakan pelbagai jenis coklat sebelum mencantumkannya.

Dia memulakan rekaan itu dengan menyiapkan tapak teleskop dengan menggunakan coklat putih dan coklat susu.

Bukan itu saja, Guichon turut menggunakan warna keemasan untuk mendapatkan impak rekaan yang lebih realistik.

Selepas beberapa jam menyiapkan teleskop itu, dia kemudian memuat naik hasilnya di Instagram.

Melihat kepada hasil rekaannya itu, ramai yang sukar mempercayai teleskop berkenaan dibuat daripada coklat kerana rekaan seakan tulen.