Tergamak kau!

Canberra: Demi popular di media sosial, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Australia seakan hilang perikemanusiaan apabila sanggup melemaskan tiga anak kucing, baru-baru ini.

The Sun melaporkan, tindakan remaja perempuan itu bagaimanapun dikecam dan dilabel sebagai ‘sakit jiwa’.

Dia dikatakan melakukan perbuatan keji itu sebelum memuat naik rakaman kejadian di Snapchat dan beberapa lagi platform media sosial.

Walaupun beberapa rakannya merayu supaya perbuatannya itu tidak diteruskan, ia namun tidak diendahkan remaja perempuan terbabit.

Sebaliknya, dia memberi alasan bahawa anak kucing itu ‘masih muda’.

Dalam rakaman yang dimuat naik di dalam Snapchat, remaja perempuan itu memasukkan tiga anak kucing berwarna hitam itu ke dalam air.

Tindakannya itu menyebabkan anak kucing berkenaan bermati-matian cuba untuk bernafas.

Remaja itu memaklumkan kepada rakannya dia sememangnya sengaja membunuh anak kucing berkenaan kerana tidak mahu lagi membela haiwan itu di rumahnya.

Ada beberapa rakan sebelum ini menawarkan diri untuk menjaga anak kucing itu, namun dia menolaknya.

Dia memberi alasan haiwan itu tidak mampu hidup tanpa ibunya dalam tempoh enam minggu.

“Ya saya sudah membunuh anak kucing itu, kenapa? Siapa peduli?,” katanya selepas melakukan perbuatan itu.

Seorang pelayar Facebook mengutuk perbuatan kejam remaja terbabit dan berharap tindakan setimpal dapat dikenakan atas tindakan itu.

“Jika tidak mahu membela binatang, lebih baik serahkan kepada orang lain yang sanggup membesarkan anak kucing itu,” kata seorang warganet.

Sementara itu, jurucakap Yayasan Kebajikan Haiwan, Michael Beatty menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kekejaman haiwan agar memaklumkan kepadanya segera.