‘Terpaksa’ pulangkan telefon curi

New Delhi: Akibat tidak tahu menggunakan telefon yang dicuri, seorang lelaki di Jamalpur, India bertindak menyerahkan kembali telefon berkenaan kepada pemiliknya.

Dia menjawab panggilan daripada pemilik berkenaan selepas tidak tahu bagaimana untuk menggunakan telefon itu sebelum berjanji untuk memulangkannya.

Kejadian berlaku di sebuah kedai manisan di daerah Burdwan Timur, Jumaat lalu.

Bercakap kepada media, polis berkata, seorang lelaki tidak sengaja meninggalkan telefon bimbitnya yang berharga 45,000 Rupee (kira-kira RM2,600) itu di kaunter sebuah kedai.

Seorang individu kemudian mengambil telefon berkenaan.

Gulf News melaporkan, dia kemudian membuat laporan polis selepas menyedarinya kehilangan telefonnya itu.

Kejadian itu turut mengundang pelbagai komen daripada pengguna Facebook.

Seorang pengguna FB dengan nama Ritesh Agarwal berpendapat tindakan lelaki itu lebih baik berbanding jika individu terbabit memutuskan untuk membuang telefon itu.

“Walaupun agak lucu, saya menghargai langkah pencuri mengembalikan telefon itu,” katanya.

Polis turut memaklumkan, pada mulanya pemilik cuba menghubungi telefon itu menggunakan nombor lain, namun panggilan itu dimatikan.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, pencuri berkenaan menjawab panggilan dan memaklumkan akan memulangkan telefon itu semula.

Dia memberitahu tidak tahu menggunakan telefon itu.

“Saya terkejut ketika lelaki itu menjawab panggilan dan mengatakan bahawa dia ingin mengembalikan telefon saya.

“Saya mengambil telefon bimbit itu dari kediamannya dengan bantuan polis. Dia juga amat menyesal atas perbuatannya itu,” katanya.

Bagaimanapun, polis tidak mengambil tindakan ke atas pencuri terbabit.