Tersedar koma dengar adik sebut filet ayam

Taipei: Seorang remaja lelaki tersedar daripada koma sebaik mendengar adiknya menyebut mengenai makanan kegemarannya iaitu filet ayam.

Kejadian pelik, tetapi benar itu berlaku di Taiwan apabila mangsa, Chiu, 18, dari Hsinchu County koma selama 62 hari selepas kemalangan motosikal pada Julai lalu.

Portal Taiwan News melaporkan, Chiu parah dikejarkan ke hospital dan doktor mengatakan organ dalamannya rosak serta pembedahan perlu dilakukan.

Bagaimanapun, Chiu koma selepas menjalani pembedahan berkenaan.

Pengarah Unit Rawatan Rapi di Hospital Besar Ton Yen, Hsieh Tsung-hsin berkata, hati dan buah pinggang kanan mangsa rosak teruk termasuk organ lain.

Chiu menjalani enam pembedahan termasuk splenektomi (pembedahan membuang limpa), baik pulih hati dan kraniotomi (pembedahan otak yang dilakukan dengan membuka tulang tengkorak).

Doktor kemudian berusaha sedaya upaya mengembalikan Chiu daripada koma namun ia bergantung kepada kekuatan mangsa untuk kembali sedar.

Keluarga Chiu berdoa supaya dia pulih, kata seorang jururawat kepada Taiwan News.

Dia berada dalam keadaan koma lebih dua bulan dan pada hari ke-62, adik Chiu yang berada di sebelah katilnya bersembang dan bergurau dengan abangnya.

“Abang, saya mahu pergi makan makanan kegemaranmu, filet ayam,” katanya.