Terselamat di tengah lautan kerana 999

WALES: Tindakan pantas seorang remaja di United Kingdom menghubungi talian kecemasan menyelamatkan dirinya daripada lemas di tengah lautan akibat terjatuh dari paddle board dinaikinya.

Lapor Mirror Daily, remaja malang itu sempat menghubungi panggilan kecemasan dan memberitahu operator dia lemas.

Panggilan mencemaskan dan rakaman video Alfie, 17, ketika diselamatkan disiarkan RNLI bagi memberi kesedaran kepada peminat sukan paddle board supaya lebih berwaspada dengan bahaya di lautan.

Nasib remaja itu baik walaupun terpisah daripada kenderaan dinaikinya di Nort Wales, namun dia menyimpan telefon bimbitnya dalam poket sut dipakainya sebelum menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan.

Kapal penyelamat dan helikopter pengawal pantai menemui remaja itu 40 minit selepas panggilan kecemasan dibuat.

Ketika diselamatkan remaja itu kelihatan keliru dan kesejukan.

Alfie yang menelan banyak air laut dan menunjukkan gejala hipotermia dirawat di hospital dan dibenarkan pulang pada hari sama.

Jurucakap Kapal Penyelamat Stesen Abersoch di Gwynedd, North Wales menggesa orang ramai mengambil iktibar daripada kejadian menimpa remaja itu.

“Kami cadangkan semua pengayuh paddle board membawa peralatan keselamatan dan komunikasi selain memakai tali keselamatan.

“Dapatkan latihan daripada mereka yang bertauliah selain ikut kemampuan diri masing-masing dan sentiasa memberitahu orang lain keberadaan anda,” katanya.