Tertekan payudara terlalu besar

London: Seorang penuntut dari Watford, di sini, memohon bantuan orang ramai menyalurkan sumbangan melalui laman sesawang, GoFundMe, untuk membantunya membiayai pembedahan mengecilkan payudara.

Amber Roach, 20, berharap dapat meraih bantuan RM26,578.80 (£5,000) untuk menjalankan pembedahan itu kerana ketika ini dia sukar untuk bangkit dari katil selepas bangun tidur berikutan payudaranya yang terlalu besar.

Penuntut jurusan undang-undang itu mendakwa, payudaranya terlalu berat sehingga menyukarkannya melakukan banyak perkara asas seperti bersukan, malah dia sukar untuk berselisih dengan orang ramai di pub.

“Ia merosakkan hidup saya. Saya tidak dapat melepasi orang apabila berselisih di pub atau kelab malam, sekiranya saya berdiri atau berpusing, saya boleh menyebabkan gelas (dipegang pengunjung) jatuh.

“Saya juga tidak dapat masuk ke kedai atau butik yang kecil kerana saya akan menjatuhkan banyak barang di rak,” katanya.

Amber berkata, dia sudah tiga tahun tidak bermain bola jaring dan berlari sedangkan sebelum itu dia pernah bermain bola sepak, ragbi, trampolin dan pelbagai sukan lain.

Amber kini memiliki payudara dengan size 34J dan berharap dapat menjalani pembedahan untuk mengecilkan payudaranya kepada saiz D.

Dia juga berharap, pembedahan mengecilkan payudaranya itu nanti dapat mengubah hidupnya untuk menjadi normal seperti orang lain.

Amber berkata, dia mahu melakukan pembedahan itu sejak berusia 16 tahun namun dinasihatkan doktor untuk melakukannya selepas dia berusia 18 tahun.