Tertuduh bersemuka dengan keluarga mangsa

Wellington: Lelaki Australia yang menyerang dua masjid di Christchurch, New Zealand (NZ) dan menembak mati 51 orang Islam, tahun lalu, bakal bersemuka dengan ahli keluarga mangsa dan individu terselamat dalam insiden itu.

Brenton Tarrant, 29, bakal berbuat demikian apabila dibawa mahkamah pada prosiding jatuh hukum kes berkenaan di mahkamah di Christchurch, selama empat hari bermula Isnin.

Tertuduh itu sebelum ini mengaku bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan bunuh dan satu pertuduhan keganasan.

Dia berdepan dengan hukuman penjara sepanjang hayat.

Ini adalah kali pertama ahli keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang terselamat bersemuka dengan tertuduh.

Sebelum ini, Tarrant mengaku salah pada prosiding yang dijalankan dari sel penjaranya berikutan penularan pandemik Covid-19.

AFP melaporkan prosiding jatuh hukum itu akan diadakan dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Beberapa ahli keluarga mangsa yang terselamat dan terkorban dibenarkan memasuki kamar mahkamah bagi mengikut prosiding kes berkenaan.

Ratusan lagi individu akan mengikuti prosiding itu menerusi penstriman langsung di tujuh kamar mahkamah.

Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi penjarakan fizikal.

Dalam pada itu, ada juga antara mereka yang dibenarkan mengikuti prosiding itu secara dalam talian.

Pada masa sama, lebih 60 individu dari pelbagai negara akan memberikan kenyataan impak mangsa (VIS) sebelum hakim menjatuhkan hukuman.

Mereka sudah berada di negara ini dan menjalani perintah kuarantin selama dua minggu sebagai persediaan untuk mengikuti prosiding berkenaan.

Sementara itu, pihak berkuasa sudah bersiap siaga dengan mengerahkan anggota pasukan keselamatan untuk berkawal di kompleks mahkamah.

Selain itu, terjemahan secara langsung ke dalam lapan bahasa juga disediakan bagi memenuhi keperluan masyarakat Muslim New Zealand yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan.

Pada kejadian 15 Mac tahun lalu itu, Tarrant melepaskan tembakan di dua masjid Christchurch dan menyiarkannya menerusi penstriman langsung di Facebook.