Tertuduh kes serangan Charlie Hebdo positif Covid-19

Paris: Tertuduh kes serangan pejabat akhbar satira mingguan Perancis, Charlie Hebdo pada 2015 disahkan positif Covid-19.

Berikutan itu, perbicaraan kes berkenaan digantung sehingga Rabu depan.

Ali Riza Polat didakwa membantu lelaki bersenjata membunuh 12 kakitangan Charlie Hebdo, seorang pegawai polis wanita sehari selepas itu dan empat tebusan di sebuah pasar raya.

Lelaki berusia 35 tahun itu berdepan tuduhan paling serius berbanding tertuduh lain dan berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan dengan kesalahan.

Tertuduh dikatakan muntah ketika prosiding perbicaraan berlangsung sehingga memaksa hakim menangguhkan mahkamah sehingga minggu depan.

Sepuluh rakan subahat tertuduh turut diarah menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Hakim Regis de Jorna menggesa menggesa semua pihak yang berada dalam mahkamah supaya mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Seramai 14 individu dibicarakan di mahkamah khas keganasan atas kesalahan menyokong tiga penyerang yang ditembak mati dalam insiden pada Januari 2015 itu.

Disifatkan sebagai orang kanan penyerang, Amedy Coulibaly, Polat dilahirkan di Istanbul sebelum berpindah ke Perancis ketika berusia tiga tahun dan membesar di Grande Borne, Grigny.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19