Thailand mungkin berdepan jangkitan baharu Covid-19

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand sedang mengesan kemungkinan berlakunya kes jangkitan baharu Covid-19 di negara berkenaan selepas empat wanita didapati positif selepas pulang dari Myanmar.

Selepas menjadi negara pertama luar China yang dikesan dengan wabak berkenaan pada Januari lalu, Thailand berjaya mengekang penularan pandemik itu dengan sekitar 4,000 kes dicatatkan sehingga kini.

Namun, ia berkongsi sempadan sejauh 2,400 kilometer dengan Myanmar di mana

negara berkenaan mencatatkan jumlah kes jangkitan harian mencecah 1,000 kes setiap hari.

Empat wanita Thailand yang bekerja di bandar Tachilek yang terletak di sempadan Myanmar, kembali semula ke Thailand dan didapati positif Covid-19.

Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha berkata, sehingga kini lebih 100 kontak rapat wanita berkenaan sudah dikesan dan menjalani ujian.

Pihak berkuasa belum mengesahkan lokasi keempat-empat wanita itu bekerja namun, berdasarkan laporan media Thailand, mereka dikatakan bekerja di ‘pusat hiburan’ yang meliputi pusat karaoke, bar dan rumah pelacuran.

“Hanya wanita-wanita ini didapati positif. Tidak perlu panik dengan berita ini,” katanya.

Sejak pulang ke Thailand, wanita pertama dilaporkan berkunjung ke Chiang Mai di mana dia turut ke pusat karaoke dan pusat beli-belah.

Bandar berkenaan mula mengambil langkah berjaga-jaga dan pihak berkuasa melaksanakan semburan disinfeksi di kawasan yang dikunjungi.

Tiga rakan wanita itu menetap di Chiang Rai dan kini menjalani kuarantin kendiri di hotel sebelum menjalani ujian.

Setakat ini, Myanmar mencatatkan lebih 90,000 kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19