Thaksin sembuh dari Covid-19

Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mengesahkan beliau dijangkiti Covid-19, namun kini sudah sembuh sepenuhnya.

Thaksin berkata, beliau mula menunjukkan gejala pertama pada pertengahan Ogos lalu sebelum ujian mengesahkan beliau positif wabak berkenaan.

Katanya, beliau dirawat di sebuah hospital di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ditempatkan di Cleveland Clinic di Abu Dhabi.

“Saya sudah keluar hospital lebih dari 20 hari lalu. Sekarang saya sihat,” katanya kepada BBC Thai seperti dipetik Bangkok Post.

Thaksin turut menafikan laporan mengenai individu rapat dengannya turut dijangkiti wabak itu.

Bagaimanapun, beberapa media tempatan lain melaporkan, Thaksin masih dirawat di hospital.

Thaksin, 71, menjelaskan beliau dibenarkan pulang ke rumah pada 13 September lalu selepas menjalani tujuh ujian dan rawatan susulan yang mengesahkan beliau benar-benar sihat dan bebas wabak itu.

Thaksin dilaporkan melarikan diri dari Thailand pada 2018 sebelum Bahagian Jenayah Mahkamah Agung untuk Pemegang Kedudukan Politik menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana konflik kepentingannya.

Beliau yang kini menetap di Dubai menegaskan dakwaan ke atasnya itu sekadar bermotifkan politik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19