The Rock, keluarga pulih Covid-19

LOS ANGELES: Bintang terkenal Hollywood, Dwayne Johnson atau dikenali sebagai The Rock mengesahkan dia sekeluarga positif Covid-19, namun sudah pulih.

Perkara itu diumumkan pelakon Jumanji itu dalam video berdurasi 11 minit di Instagram pada Rabu.

Katanya, dia bersama isteri dan dua anak perempuannya dijangkiti virus itu dua atau tiga minggu lalu daripada rakan keluarga terdekat yang tidak mengetahui mereka dijangkiti virus itu.

“Ini sesuatu yang sangat mencabar dan sukar untuk kami lalui sebagai sebuah keluarga dan untuk saya secara peribadinya.

“Diuji positif Covid-19 jauh berbeza daripada kecederaan atau patah yang sudah lebih beberapa kali saya alami,” katanya seperti dipetik dalam portal CTV News.

Johnson berkata, dua anak perempuannya Tianna and Jasmine masing-masing berusia dua dan empat tahun menghidap sakit tekak beberapa hari.

“Saya harap hanya saya diuji positif, tapi tidak, seluruh keluarga,” katanya.

Pelakon itu turut menggesa pengikutnya mengamalkan disiplin apabila berkumpul di tempat awam, tingkatkan imun sistem dengan pemakanan diet seimbang selain pemakaian pelitup muka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19