Tiada kudeta di Thailand

Bangkok: Panglima Tentera Darat Thailand, Jeneral Narongpan Jittkaewtae menolak khabar angin mengenai rampasan kuasa bagi mengakhiri ketegangan politik ekoran tunjuk perasaan antikerajaan.

Ketidaktentuan politik memuncak di Bangkok sejak pertengahan Julai, menuntut perubahan politik, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha meletakkan jawatan, pembubaran Parlimen, pindaan Perlembagaan dan reformasi monarki.

Ketegangan terus meningkat apabila kumpulan penunjuk perasaan mengadakan bantahan sejak beberapa minggu lalu.

Pemerhati politik berpendapat keadaan boleh bertukar menjadi ganas dan rampasan kuasa mungkin tercetus.

Bulan lalu, Prayuth berkata ‘tidak ada yang mahu lakukan kudeta’ ketika ditanya mengenai cadangan beberapa penunjuk perasaan kemungkinan rampasan kuasa untuk menggantikannya.

“Tidak pernah terfikir hal ini (kudeta). Namun, kita harus berhati-hati dan usah biar keadaan bertambah buruk,” katanya.