Tiada rakyat Malaysia terkandas di Panama

KEDUTAAN Besar Malaysia di Peru mengesahkan tiada rakyat Malaysia terkandas di Panama akibat sekatan perjalanan yang dikenakan untuk membendung wabak Covid-19.

Setiausaha II kedutaan, Syed Ahmad Naufal Syed Isa, berkata namun ada seorang pelancong Malaysia dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Tocumen di Panama pada 17 Mac.

“Dia telah selamat pulang ke Malaysia selepas mendapat bantuan kedutaan. Pelancong itu balik dengan menaiki penerbangan pada hari berikutnya (18 Mac),” memetik kenyataan kedutaan Malaysia.

Kedutaan Malaysia di Peru ditauliah serentak ke Panama.

Dalam kes berasingan, kedutaan berkata pihaknya menerima e-mel dari seorang individu pada 25 Mac memaklumkan empat pelancong Malaysia terkandas dalam sebuah kapal persiaran.

Kapal persiaran itu dijangka berlabuh di Panama, tetapi kemudian dimaklumkan ia terus belayar dan berlabuh di Fort Lauderdale (Florida), The Bahamas atau Cuba.

“Kedutaan telah memberikan maklumat pihak yang boleh dihubungi di kedutaan Malaysia di Peru, Amerika Syarikat dan Cuba kepada individu berkenaan,” kata kenyataan itu.

Komunikasi terakhir kedutaan dengan individu itu melalui e-mel pada 28 Mac.