Tidak prihatin

AMMAN: Seorang bapa yang kehilangan anaknya akibat keracunan makanan, kecewa selepas tidak dimaklumkan pihak hospital mengenai kematian kanak-kanak itu sebaliknya mendapat maklumat menerusi laman Facebook hospital yang merawatnya.

Bapa saudara kanak-kanak itu mendedahkan, Yamen bersama ibu dan dua beradiknya tiba di Hospital Prince Al-Hussein bin Abdullah II untuk mendapatkan bantuan perubatan tengah hari, Selasa lalu.

Dakwanya menerusi temubual Roya News, pihak hospital memaklumkan mereka sihat dan diarahkan pulang.

Bagaimanapun, Yamen dibawa kembali ke hospital pada pagi Rabu selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.

Kanak-kanak itu dilaporkan dimasukkan ke unit rawatan rapi sebelum meninggal dunia.

Katanya, hospital terbabit mengeluarkan kenyataan berhubung kematian kanak-kanak berusia tiga tahun itu di laman sosial rasmi hopital berkenaan sebelum memaklumkan terlebih dulu kepada keluarga mangsa.

Bapanya, dukacita dengan kematian mengejut anaknya itu yang hanya diketahui melalui laman sosial.

“Saya hilang anak kesayangan saya kerana insiden malang yang tidak sepatutnya berlaku.

“Kakitangan perubatan tidak menyediakan keperluan penjagaan kesihatan ketika dia ke hospital petang Selasa itu,” katanya.

Yamen antara mangsa keracunan makanan di Jordan yang turut menyebabkan lebih 800 lagi mangsa dirawat.

Berdasarkan laporan AFP, Kementerian Kesihatan mengesahkan semua mangsa mengalami keracunan makanan selepas makan shawarma di restoran yang menawarkan potongan harga.