Tik Tok pertemukan keluarga hilang bapa 2 tahun
NEW DELHI: Siapa sangka video Tik Tok menyatukan semula seorang lelaki dengan keluarganya selepas dua tahun terpisah.
BBC melaporkan pencarian keluarga R Venkateshwarlu berakhir selepas menonton video dimuat naik Konstabel Polis Punjab, Ajaib Singh di akaun Tik Tok yang mempunyai lebih 800,000 pengikut.
Video dimuat naik pada Mac lalu itu menunjukkan Singh mengagihkan makanan kepada pekerja asing dan golongan miskin yang duduk bawah jejantas di Ludhiana apabila seorang penerima bantuan adalah Venkateshwarlu.
Rakan anaknya yang kebetulan menonton video berkenaan memaklumkan keluarga Venkateshwarlu sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Venkateshwarlu yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan terpisah dengan keluarga selepas tertidur sewaktu menaiki trak untuk ke tempat kerja dari Telangana ke kampung lain, pada April 2018.
Seorang daripada lima anaknya, R Peddiraju memberitahu BBC pada mulanya, pemandu trak tidak sedar bapanya ada di dalam trak berkenaan.
“Selepas memandu beberapa kilometer (km), barulah pemandu perasan dan menurunkan ayah ke tepi jalan,” katanya.
Sewaktu bersendirian, Ventakeshwarlu berusaha mencari jalan pulang dan bertemu pemandu trak yang sudi menumpangkannya.
Selepas beberapa jam, Ventakeshwarlu tersedar pemandu berkenaan menuju ke laluan bertentangan dan dia diturunkan di Ludhiana, bandar perindustrian besar yang terletak jauh di utara Punjab.
Sejak itu, Ventakeshwarlu hidup dengan ihsan penduduk tempatan yang memberinya makanan namun dia mengalami masalah komunikasi kerana tidak memahami serta boleh bertutur dalam Bahasa Punjabi.
“Kami menangis ketika pertama kali melihat satu sama lain dan ayah meminta saya bawanya pulang.
“Polis menasihatkan saya bertemu dengannya selepas tamat perintah pergerakan tetapi kami tidak boleh menunggu lagi dan berjaya mendapatkan permit merentas negeri.
“Ini kali pertama ayah terpisah dengan kami untuk tempoh lama,” kata Peddiraju.