TikTok ‘cabut’ nyawa

Karachi: Penangan TikTok, tiga remaja lelaki lemas ketika membuat rakaman video di sebuah kolam di sini, Ahad lalu.

Kejadian berlaku di kawasan kejiranan Raees Goth ketika mereka berkelah di situ.

Gulfnews melaporkan seorang daripada mereka tergelincir dan jatuh ke dalam kolam menyebabkan rakannya terjun untuk menyelamatkan mangsa.

Media Pakistan melaporkan, sejurus kemudian, pasukan penyelamat tiba dan menemui ketiga-tiga mereka lemas.

Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

Mangsa dikenal pasti sebagai Shazad, 23, Sajjad, 25 dan Zabeer, 18.

Ia bukan kejadian pertama membabitkan TikTok di negara itu.

Pada 17 September lalu, seorang remaja ditahan pihak berkuasa selepas dilanggar kereta api ketika merakam video menggunakan TikTok di Abbottabad.

Sementara itu, 30 Julai lalu, seorang remaja berusia 20 tahun jatuh dari tingkat empat sebuah bangunan ketika asyik merakam video menggunakan aplikasi berkenaan di Lahore.

Isu mengenai TikTok hangat diperkatakan di seluruh dunia sehingga menjadi perdebatan antara kuasa besar dunia.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mahu menyekat aplikasi media sosial TikTok yang kini berkembang pesat di negara itu Julai lalu.

Ia susulan kebimbangan pihak berkuasa AS terhadap perkhidmatan media sosial itu yang dikatakan boleh menjadi alat untuk perisikan China.