Tindakan terdesak akibat tiada duit, makanan

Rom: Kehabisan bekalan makanan dan wang selepas pelaksanaan penuh perintah berkurung sejak lebih 20 hari lalu, menyebabkan rakyat di selatan Itali mula bertindak di luar kawalan.

Ada antara bertindak ganas sampai sanggup mencuri dan bertelagah dengan pihak berkuasa selepas terdesak bagi memenuhi keperluan asas.

Memetik Sky News, rakaman video menunjukkan seorang lelaki berteriak kepada pegawai polis sambil memaklumkan keluarga mereka tiada wang.

Ibunya pula merayu kepada polis supaya mengikut mereka pulang ke rumah untuk membuktikan tiada bekalan makanan.

Ketegangan itu berlaku di Apulia, selepas lelaki itu tidak dapat mengeluarkan wang pencen ibunya kerana bank ditutup.

Sebuah video lagi memaparkan, seorang bapa yang memaklumkan, kesabaran mereka sudah sampai hadnya.

“Sudah 20 hari kami berada di dalam (rumah).

“Sama macam anak saya, ramai kanak-kanak lain lagi tak dapat makan roti walaupun secebis ini,” katanya.

Selain video, imej foto juga tersebar memperlihatkan pasukan polis turun ke pasar raya di Palermo dekat Sicily.

Ia susulan beberapa aduan orang ramai mula mencuri untuk memenuhi keperluan asas masing-masing.

Sebuah kumpulan ditubuhkan beberapa hari lalu bagi melakukan serbuan di pasar raya berkenaan.

Sky News turut menghantar rakaman mesej bervideo seorang lelaki di Sicily yang lengkap bersenjata api menawarkan diri untuk membunuh.

Datuk Bandar Palermo, Leoluca Orlando memberitahu Sky News, kumpulan penjenayah cuba mengeksploitasi dan menghasut orang ramai untuk melakukan keganasan.

“Keresahan dan kelesuan semakin meluas. Kita menerima laporan agak membimbangkan mengenai protes dan eksploitasi penjenayah yang ingin mengganggu kestabilan sistem,” katanya.