Tindakan Trump memalukan – Biden

Washington: Bakal presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyifatkan tindakan Donald Trump yang masih enggan mengaku kalah dalam Pilihan Raya AS sebagai ‘memalukan’.

“Saya fikir, secara jujurnya, ia memalukan,” katanya ketika memberitahu pemberita di Wilmington, Delaware.

Beliau berkata, ia tidak akan membantu legasi presiden berkenaan.

Selepas seminggu, Trump masih ‘menyepi’ di dalam Rumah Putih, dan menganggap akan menang dengan mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya itu.

Dalam pada itu, Biden tetap menegaskan bahawa beliau adalah bakal presiden baharu meskipun Trump cuba menghalang peralihan kuasa.

Terbaharu, Biden sudah berhubung dengan beberapa pemimpin negara asing termasuk Perdana Menteri Britain, Boris Johnson; Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin.

Sejak hari pilihan raya, Trump hanya membuat beberapa penampilan awam dan sudah tidak lagi menjalankan tugasnya sebagai presiden.

Beliau hanya dilihat berada di luar Rumah Putih sebanyak dua kali untuk bermain golf, selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Selain itu, taklimat rahsia perisikan kepada presiden dan sidang media harian sudah tidak lagi diadakan.

Sebaliknya, presiden dilihat hanya mengisi masa untuk menulis di Twitter mengenai apa yang didakwanya sebagai ‘kecurian dalam pilihan raya’.

Situasi itu amat berbeza empat tahun lalu apabila Trump yang menang mengejut dijemput sebagai tetamu ke Rumah Putih oleh Barack Obama.

Ia adalah tradisi sebagai menandakan proses peralihan kuasa daripada presiden kepada penggantinya.

Trump bukan sahaja tidak menjemput Biden untuk bertemu di Rumah Putih, malah menyekat akses, kepakaran dan sumber kepada individu itu.

Biden pada Selasa bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Trump dan hanya memberitahu sambil tersenyum: “Tuan Presiden, saya berharap dapat bercakap dengan kamu.”

Pada masa sama, beliau juga sudah menubuhkan pasukan petugas khas Covid-19 dan kini menyaring calon sesuai untuk Kabinetnya.