Toreh leher bapa

Mumbai: Berang tidak diberikan wang, seorang lelaki di India tergamak menoreh leher bapanya menggunakan pisau pada 11 Oktober lalu.

Lelaki berusia 22 tahun itu hilang pertimbangan selepas hasratnya untuk menggunakan wang untuk berhibur tidak dilayan.

Portal berita deccanchronicle.com melaporkan, suspek dan mangsa tinggal di Ganjam, Odisha, negeri di timur India.

Ketika kejadian, dua beranak itu dikatakan ‘bertegang leher.’

Berdasarkan laporan itu, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan dikatakan sering menghabiskan wang untuk berhibur bersama rakannya.

Keadaan itu menyebabkan bapanya dengan gaji harian sudah tidak mampu menampung keperluan kewangan anaknya itu.

Ini ditambah pula dengan bapanya sudah tidak bekerja kerana penularan pandemik Covid-19.

Namun, suspek tidak mempedulikan masalah itu dan berterusan meminta wang daripada bapanya.

Suspek yang menoreh leher bapanya kemudian melarikan diri selepas melihat keadaan mangsa yang lemah dan berlumuran darah.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan kejadian disedari jiran sebelum mereka menghubungi talian kecemasan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dan kini dilaporkan stabil.

Susulan kejadian, suspek ditahan polis bagi membantu siasatan.

Kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.